Saturday, December 17, 2011

Benih Semalu

Benih Semalu
A. Samad Said
DBP, 1987

"Setiap yang benar
betapa ditekan tetap menjalar ..."

Perasaanku :

Naskhah ini merupakan gabungan dua kumpulan puisi Benih Harapan dan Daun Semalu Pucuk Paku. Nyata dan ternyata sekali ia adalah gabungan nostalgia dan realiti yang dihadapi dalam perjalanan seorang penyair yang menjadi kontroversi di kala ini. Memang, memang seorang penyair punya kehidupan yang tersendiri dan kekuatan aura yang tidak dapat disangkal. Justeru, kumpulan puisi ini adalah merupakan luahan sama ada bersifat peribadi mahupun menegur satu-satu pihak secara berhemah. Tapi bagi saya, penonjolan terhadap nostalgia terhadap kampung, keluarga sangat kuat dan dekat dalam kumpulan puisi.

Untuk kefahaman satu lagi, ia juga bersifat menegur. Walaupun tidaklah begitu keras, namun dalam kelembutan aksara yang ditinta punya mesej yang jelas, dengan harapan dapat membawa perubahan terhadap subjek yang ditegur.

Namun saya tetap mengatakan bahawa naskhah ini adalah kata-kata dan luahan penyair dalam serba sederhana dan enak dibaca bagi peminat-peminat puisi.

Saturday, November 26, 2011

Bogel Menuju Tuhan

Bogel Menuju Tuhan
Zahiril Adzim

Orange Dove, 2011

RM 30.00

"... Namaku Pak Wah

aku pembikin bangunan

hari ini 2009, aku masih telanjang."


Perasaanku :

Entah mengapa tajuk naskhah ini memang 'menangkap.' Ya, saya fikir sekali terpandang tajuk itu, pasti orang akan terdetik, bogel? Menuju Tuhan? Bagaimana itu? Sekali membaca sahaja, sudah ternampak suara-suara resah yang bergelora - dilontarkan melalui bait-bait puisinya yang bersifat memberontak. Jiwa muda, ya pastinya anak muda yang tidak mengaku dirinya artis ini punya banyak resah yang tidak pernah terucap melalui kata-kata. Hanya tulisan yang menjadi tempat untuk meluah, lalu dikepilkan dalam satu naskhah yang mengumpulkan suara hatinya yang bergejolak dengan keadaan sekitaran yang tidak pernah jemu berubah.

Bukan takat itu, malah ia adalah suara pencarian kepada Tuhan dalam laras bahasa yang agak santai. Ada kalanya bait-bait puisi yang dihasilkan agak puitis, mungkin ia tercipta ketika hatinya sedang tenang. Dan tentunya suara penentangan terhadap sekitaran berlaku dalam keadaan memikirkan sesuatu yang terdaya untuk diubah oleh sesiapa, kecuali yag punya kuasa.

Justeru, membaca isi hati anak muda ini, saya kira ia adalah suatu manisfestasi atau rakaman gambar resah, gelisah, rindu, cinta, pengharapan, berontak, berantakan. Sesekali menjenguk ke dalam sumur fikirnya, membawa kita kembali ke alam muda yang penuh dengan pencarian. Pencarian diri. Sila mencubanya ... walaupun kata-katanya tidaklah sepuitis sasterawan negara, namun dia punya cerita yang mahu diceritakan.

"Lagipun abang bukannya artis, abang pelakon aje ..."

Thursday, November 24, 2011

JM Aziz - Derita Seorang Seniman

Derita Seorang Seniman
Selengaraan Wahba
DBP, 1993


"Laut gila
hilang bicara
laut ke laut
tunangan maut"

Perasaanku :

Namanya tidaklah segah allahyarham Sudirman Hj. Arshad yang menyanyikan puisinya, Malam Ini Penyu Menangis. Juga tidak sebaris dengan Seniwati Sarimah (puisi 'Sepi Itu Indah'), namun bait-bait puisi dan aksaranya mesra sekali dengan dunia kepenyairan tanah air yang mengetahui JM atau 'Jiwa Merana' nya yang mengakhiri kehidupan di Seberang Takir.

Nama sebenarnya Abdul Aziz Abdul Rahman, yang menggunakan nama pena Jiwa Merana untuk hasil karyanya, kemudiannya digubah oleh SN Dato' Samad Said pada JM Aziz, ujar beliau. "Saya menukarnya semata-mata untuk mengikis rasa derita yang terlampau pada dirinya." Petikan dari kata pengantar dalam Kumpulan Puisi Pengantin Laut (Amir Enterprise, 1976).

Memang. Memang sesiapa sahaja yang membaca naskhah yang memaparkan keluh, resah, derita, kesakitan - pasti akan bersetuju bahawa laut yang pantai, laut, camar, penyu, ikan, sotong yang menjadi ilhamnya berpuisi; adalah juga rakan yang mengongsi deritanya hinggalah beliau menghembuskan nafas pada 15 Mac 2002. Segala derita dan penghidupannya tercatat dalam untaian puisi yang dilontarkan. Namanya tidak terkenal, tetapi dikenali.

Begitulah adanya, perjuangan seorang penyair yang membawa hingga ke akhir hayat. Kalau diamat-amati, pada bahagian puisi, memang jelas tergambar bahawa penghidupan lelaki ini tidak lari dari kisah dan pengkisahan laut. Laut adalah segala-gala bagi dirinya. Memang dia memesrai laut dan mengerti falsafah di sebaliknya lebih daripada orang lain. Pengalamannya sebelum dihinggapi kusta, memang menjadi idea dan menjadi lukisan dalam bentuk kata-kata. Siapa yang tidak terharu membaca tulisan beliau. Sekilas sahaja, perasaan getir akan menyinggah apabila menelusuri patah demi patah perkataan yang tertulis. Pilu ...

Al-Fatehah.

Tuesday, November 1, 2011

Taman-Taman Kejadian

Taman-Taman Kejadian
Siti Zainon Ismail
Galeri Menora, 1996

"Akulah pulau
menatap gemulung awan
teja senja terpercik
ke rumah rawan..."

Perasaanku :

Membaca dan menatap sekilas tulisan dan pandangan Siti Zainon Ismail bagaikan membawa dunia realiti dan fantasi ke dalam minda. Lukisan berserta untaian puisi yang dibariskan seolah menyatakan kepada kita bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Di sebalik tumbuhan, kehidupan dan hidupan itu sendiri bagaikan satu dan menyatu dalam sebuah penyatuan yang tidak terungkap dek kata-kata. Hanya rasa yang memahami. Naskhah sederhana ini mengutarakan komentar terhadap karya beliau yang dikatakan bersifat surealis yang biasanya dijelmakan dalam bentuk lukisan, tetapi kebolehan beliau dalam kedua-dua bidang lukisan dan puisi, mengindahkan lagi 'rasa' yang membaca. Pun begitu, kebolehan pembaca adalah amat penting dalam mengungkap dan mencungkil rahsia yang tersembunyi di balik awanan makna dan belantara kata yang dilontarkan.

* Buku ini sukar untuk didapati dalam pasaran.
Blog Beliau di sini.